PUSARA CINTA ALEYA
Mengapa di saat hatinya mahu mula mengenali cinta,dugaan yang maha hebat itu datang melanda? Tetapi,Aleya percaya kepada qada dan qadar yang maha berkuasa,tiada siapa yang dapat menentukan akhirnya sesuatu perjalanan hidup manusia,semuanya ditentukan olehNya.
Aleya merenung sayu pusara yang suram dan sepi. Hatinya gundah diserbu sebak yang membadai. Pohon kemboja disekeliling yang menaburkan bunga-bunga kesedihan ke serata pusara,bagaikan mengerti kehancuran sebuah ikatan kasih tidak ternilai membaluti sekeping daging kecil dalam jasad Aleya.
Dua tahun lepas,Aleya belajar di California. Dia sebenarnya tidak suka berjauhan dengan keluarga,terutamanya daripada ibu tersayang. Namun, atas nasihat bapanya, Aleya terpaksa juga meneruskan hasrat ayahnya yang ingin melihat Aleya berjaya dalam pelajarannya. Sewaktu kelapangannya, dia akan mengajak Alina menemaninya berjalan-jalan di sekitar Bandar Chicago dengan kereta yang dihadiahkan oleh ayahnya. Mujur juga ada Alina yang periang sentiasa menghiburkan hatinya yang kesepian. “Asyik betul kau perhatikan mat salih berdua tu berjalan berpegangan tangan. Engkau ni Aleya, dah patut sangat bercinta. Asyik hidup keseorangan sahaja, tak remajalah! Tengok aku,selamba je sambar si Iqbal tu. Engkau ni memilih sangat!” Alina berkata. “ Ha….banyaklah! Engkau ingat aku ni apa? Ayam? Boleh main sambar-sambar?” Sahut Aleya. “ Aku hairan dengan kau, Aleya! Muka dah iras-iras Britney Spears, tapi tak ada juga yang sangkut! Tapi bila ada orang yang cuba masuk, kau jual mahal!” “Eh, engkau jaga cik abang kau sudahlah, nanti kena kebas baru tersengih berputih mata! Masa tu jangan kau menyandarkan kesedihan kau pada aku, faham?” “Ya lah, cik ‘Britney Spears’ yang tak ada kekasih. Jangan marah. Hehe..” Sahut Alina. “Nanti Putera Charles tu datang pinang aku, barulah tercengang mulut kau!” Aleya berseloroh sambil tersenyum memandang Alina yang berpura-pura muntah.
Kemudian ketawa mereka pecah di dalam kereta Aleya yang tidak berbumbung itu. Tiba-tiba dirasakannya satu bayangan yang laju melintasinya dari tepi. Darah Aleya berderau. Dia hilang kawalan, sterengnya diputar pantas untuk mengelakkan dari terlanggar kereta di hadapannya. Namun, sebuah motosikal yang agak laju merempuh tepi kereta Aleya kerana tidak sempat mengelak keretanya yang tiba-tiba membelok. Motosikal berkuasa tinggi itu tumbang, penunggangnya tercampak ke tepi tetapi dia bernasib baik kerana sempat bangun daripada dilanggar oleh kenderaan yang sesak di jalan raya itu. Aleya keluar dari kereta dengan wajah yang cemas. Alina yang terkejut masih lagi terpisat-pisat matanya. Aleya meluru ke arah penunggang motosikal yang bingkas bangun, tetapi agak terhinjut-hinjut. “ Maaf, encik cedera? Saya tolong hantarkan ke hospital?” Aleya bertanya cemas akibat terlalu panik. Akibat terlalu panik dia terlupa dan terus sahaja bercakap bahasa melayu. Pemuda tadi seperti tergamam sebentar melihat wajah Aleya. Perlahan-lahan dia membuka helmet ‘fullface’nya dan merenung ke arah Aleya, kemudian ke arah motosikal Cagivanya yang tersadai di tepi jalan, cukup untuk membuatkan rasa bersalah Aleya semakin menebal. “ Itu kereta cik?” Pemuda itu bertanya membuatkan Aleya tergamam sebentar kerana dia baru menyedari tadi dia bercakap bahasa melayu juga. Tetapi dia lebih terkejut, pemuda di hadapannya ada iras-iras mat salih itu bercakap dalam bahasa melayu. Aleya mengangguk lemah.
“Encik, maaf, saya telah menyusahkan encik. Saya akan mengganti segala kerosakan motosikal encik. Kalau encik cedera, saya hantarkan ke hospital? Aleya cuba untuk memujuk. “ Tak apa. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Cuma boleh tolong hantarkan saya ke Foreign Student Building? Saya tengah urgent ni, nak jumpa ayah saya”. Pemuda itu bersuara, bunyinya terdesak. “ Oh, boleh saya hantarkan”. Sahut Aleya agak terketar-ketar bertembung mata dengan pemuda di hadapannya. Dengan gaya yang agak canggung, Aleya menjemput pemuda itu ke dalam keretanya. “ Awak pun student University Of California?” Tanya pemuda itu sambil menjeling ke arah pelekat yang nama University Of California yang menghiasi cermin hadapan keretanya. “ Tak pernah jumpa pun”. “Saya student Biochemistry. Mungkin lain dengan bidang encik. Adakah encik ambil course Engineering?” Aleya menyoal seperti inspektor. Dia sempat menjeling ke arah Alina di sebelahnya. Ada riak jeling nakal dalam sinar matanya yang tersenyum kepada Aleya. Aleya faham dengan jelingan nakal Alina itu. “ Oh, patutlah tak pernah jumpa.” Aleya ingin bertanya lagi setelah pemuda itu menjawab hanya dengan anggukan yang disulami senyuman manis. “ Encik berbahasa melayu dengan fasih sekali. Encik asal Malaysia?” “ Saya dilahirkan di Malaysia dan dibesarkan di sini.”
“ Maafkan saya kerana telah menyusahkan encik. Kalau encik perlukan ganti rugi, hubungilah saya. Saya sentiasa sedia menolong encik.” Aleya menghulurkan sekeping kad yang tertera nama dan nombor telefonnya.“ Terima kasih. Tak apa. Lagipun ayah saya ada di sini. Kalau terdesak sangat nak baiki motosikal saya tu, minta terus dengan ayah saya.” Aleya mengangguk tersenyum kepada pemuda itu. “Terima kasih kerana menghantar saya. Moga jumpa lagi.” Pemuda itu sekali lagi berterima kasih kepada Aleya apabila sampai ke tempat tujuannya. Sejurus kemudian dia hilang ditelan dinding bangunan Foreign Student Building, bangunan kolej yang menempatkan pelajar-pelajar luar California. Tangannya pantas memasukkan gear dan keretanya memasuki ke simpang Prairie Street. Paniknya masih berdebar-debar namun dia tidak tahu berdebar kerana kemalangan atau kerana teringatkan wajah pemuda tadi.
Petang yang damai. Aleya berseorangan menyusuri tebing Michigan Lake. Alina ke Nevada menemani Iqbal yang pergi ke rumah makciknya. Bayu dingin di Lincoln Park berhembus dari tasik saujana di depannya menyapa lembut wajah gebunya. Hujung tudungnya melambai-lambai ditampar angin. Aleya melabuhkan punggungnya di sebuah bangku. Beberapa pasangan kekasih berada di sekeliling tempat Aleya berehat. Pemandangan itu seperti sudah biasa bagi Aleya semenjak berada di California. Aleya sentiasa teringat akan pesan mamanya agar sentiasa menjaga maruahnya ketika berada di rantauan. Lantaran itu, dia sering berdoa kepada Allah agar memelihara dirinya daripada segala perkara yang boleh merosakkan maruahnya.
Sedang jauh mengelamun, Aleya disapa oleh satu suara yang dirasakannya pernah didengarinya. Dia berpaling mencari tuan empunya suara. Si pemuda yang dilanggarinya tempoh hari menghampirinya. Aleya agak terkejut. Tetapi masih tersenyum simpul. “Assalamualaikum. Jauh mengelamun? Sorang je? Mana Alina? Buat apa kat sini?” “Waalaikummussalam. Too much question. Boleh jawab satu-satu?” Pemuda itu tersenyum. Dia seperti mencuri pandang ke arah mata Aleya yang berwarna hazel jernih itu. “ What a small California! Tak sangka boleh jumpa di sini. Aleya tak takut keseorangan di sini?” Tanya Adam. “ Apa yang nak ditakutkan encik. Kan ada ‘guard’?” “ Ish, berencik-encik pula dengan saya. Adam saja cukuplah.” “ Ooo… Adam! Macam mana pula boleh sampai sini? Macam mana dengan luka? Dah sembuh? Motosikal okey?” “ Banyak juga soalannya tu. Kena jawab semua ke?” Aleya tergelak kecil. Lesung pipitnya kelihatan. Ternyata dia nampak begitu manis sekali. Adam seperti terpegun memerhatikan wajah Aleya dan mata Aleya bertembung dengan bola mata Adam. Adam hanya tersenyum, diam melihat gadis manis di hadapannya itu ketawa. Lantas Aleya mengalihkan wajahnya setelah menyedari Adam merenung wajahnya. Dia tersipu malu. Darah menyerbu ke muka. Entah kenapa hatinya berdebar tiba-tiba. Pandangannya di alihkan dari wajah tampan Adam ke arah bangunan-bangunan pencakar langit di seberang tasik.
Matahari semakin memancar garang. Mereka berjalan seiringan mencari tempat berteduh ke sebuah restoran yang menghadap ke tasik. Angin bertiup lembut dari arah tasik. Adam memilih tempat duduk di suatu tempat. Di meja itulah Aleya mengenali Adam dengan lebih dekat. Bermula saat indah itu, hubungan dijalin mesra dengan gurau senda, berkongsi masalah,pengalaman malah berkongsi hati. Aleya menerima kehadiran Adam seadanya sebagai seorang yang istimewa di dalam hatinya, begitu juga Adam. Cuma tiada kata cinta yang dilafazkan secara zahir, hanya hati yang berbicara dan isyarat yang ditafsirkan melalui mata, akal, hati.
Adam menanti dengan sabar di atas bangku sementara menunggu Aleya melakukan praktikal lab yang akan tamat dua puluh minit lagi. Adam sudah melafazkannya tetapi tidak secara terang. “ Aleya, hati Adam sudah lama sepi. Dan Adam tak mahu lagi biarkan ianya sepi tak berpenghuni. Adam harap ada yang sudi mengisinya.” Adam merenung ke dalam mata Aleya. Aleya hanya tunduk tersipu-sipu, sambil membetulkan tudungnya. Aleya senyum memerhatikan wajah mengharap di hadapannya. Dia tidak menjawab kata-kata Adam itu. Baginya pasti Adam sudah ada jawapannya. Adam beberapa kali menjenguk ke arah makmal tempat Aleya membuat eksperimen kimianya. Tiba-tiba beberapa orang keluar sambil menutup hidung dan suatu letupan kecil kedengaran dari bilik itu. Adam mulai cemas. Aleya berada di dalam makmal itu! Adam terus berlari cemas ke makmal tersebut. Asap nipis kelihatan keluar dari makmal itu. Apabila dia menghampiri makmal itu, beberapa orang yang pengsan dan cedera diusung keluar oleh beberapa orang yang memakai topeng gas dan dibawa ke pusat kecemasan. Dalam ramai orang berpusu-pusu itu, Adam mencari Aleya dengan debaran berdentum di dada. Dia hampir pengsan melihat Aleya diusung keluar dengan berlumuran darah pekat di kepalanya.
“ Be patience, sir. She had lost her eye sight, chemical infection.” Kata-kata doktor itu merentap jantung Adam. Terasa kegelapan yang bakal Aleya hadapi turut menggelapkan jiwanya. “ Aleya telah menghancurkan harapan Adam. Tak ada gunanya lagi Adam berada di sisi Aleya lagi. Aleya hanya akan membebankan Adam!” Aleya teresak-esak menangis di hadapan Adam. Adam sayu melihat mutiara jernih yang lahir dari mata Aleya. “ Aleya, harapan Adam tak pernah hancur. Aleya tetap menjadi orang yang istimewa bagi Adam, selamanya dan bagi Adam tiada apa yang kurang pada Aleya, kasih sayang Aleya masih penuh. Adam tahu. Bersabarlah. Doktor kata ‘there still a hope’ kalau ada penderma mata yang sudi menderma.” Mendengarkan itu, tangisan Aleya makin menjadi-jadi. Wajahnya yang gebu itu menagih semangat yang telah hilang. Adam hanya mampu melihat dengan hati yang sebak. Ingin rasanya dia memegang tangan Aleya, menyapu air mata Aleya, namun dia masih ingat pada batasan agama. Segalanya hanya dalam hasrat.
Adam keluar daripada klinik pakar dengan kepala yang berserabut. Sakit kepalanya sejak akhir-akhir ini semakin teruk. Dan yang paling mengejutkannya ialah kata-kata doktor tadi yang memberi peringatan kepadanya. Dia mengeluh panjang. Ayahnya sudah diberitahu. Cuma Aleya yang paling merunsingkannya, patutkah dia memberitahu Aleya? Perasaan Aleya pasti berkecai apabila dia mengetahui tentang dirinya. Dalam suatu keluhan panjang, dia membuat keputusan untuk menggembirakan hati Aleya. “ Aleya, esok adalah ulang tahun pertemuan kita. Ingat lagi tak accident tu? Aleya langgar Adam kuat sangat, sampai nak tercabut pinggang ni!” Aleya hanya tersenyum, matanya terkelip-kelip. Walaupun tidak dapat melihat Adam, namun wajahnya masih terlukis jelas dalam mata hatinya. “ Adam akan bagi hadiah yang paling bermakna buat Aleya, Aleya akan kenang selamanya hadiah tu, seolah diri Adam ada dalam Aleya.” Adam bersuara lembut. Nadanya agak mendalam, seolah menahan suatu perasaan yang berat. Aleya mendengar hairan, dia tidak pernah mendengar suara Adam sebegitu ganjil sebelum ni.
Petang itu Adam akan bersama dengan Aleya. Mereka berjalan-jalan di kawasan tempat Aleya melanggarnya dahulu. Tetapi tengah harinya Adam ada praktikal penerbangan di Nevada Military Airport. Jadi habis sahaja praktikalnya, dia akan bergegas ke apartmen Aleya. Adam mengawal pesawat jenis Charlie itu dengan baik. Pesawat meluncur cantik di udara. Pengawasnya di sebelah mencatat sesuatu di atas kertas pemarkahan, sambil mengawasi tekanan angin di meter-meter angin yang bersusun di papan kokpit.
Tiba-tiba Adam merasakan alam bagaikan berputar ligat. Peluh memercik di seluruh badannya. Dirasakannya seperti beribu jarum halus mencucuk kepalanya. Adam teringat kata-kata doktor pakar tempoh hari. Kemudian dia teringat ayahnya dan wajah Aleya muncul pantas di fikirannya. Setelah itu segala-galanya menjadi gelap. Pesawat hilang kawalan dan terus menjunam laju ke dalam tasik.
Aleya menanti dengan penuh sabar di apartmentnya. Tiba-tiba telefon menjerit. Alina melaung memanggilnya. Aleya meraba-raba ke arah telefon. Entah mengapa hatinya berdebar-debar. Wajah Adam muncul dalam fikirannya. Apabila dia menyambut gagang telefon dari Alina, dan setelah dia mendengar panggilan yang dibuat daripada North Carolina State Hospital, Aleya terus pengsan.
Aleya merenung lagi pusara di hadapannya. Dia membetulkan batu nisan yang condong, air matanya menitis di atas nisan itu. Awan yang mendung mula menyebarkan titisan kesedihan ke serata arah, membasahi Aleya. Air matanya mengalir bercampur dengan air hujan.
Hujan yang menitik ke daun-daun pohon kemboja bergemersik panjang. Sepi. Aleya mencapai jag yang berisi air dan bunga-bunga, dijirusnya pusara di hadapannya. Aleya mengelap matanya yang sudah bertukar warna dan bertukar tuannya. Sepi dirasakannya, sesepi jasad Adam yang berada di dalam perut bumi. ‘Hadiah’ dari Adam sebelum dia pergi untuk selamanya tersimpan di dalam mata hatinya.
nota kaki : enjoy your reading :)
No comments:
Post a Comment